Saturday, October 17, 2009

Taufan: Filipina


Taufan: Filipina hargai bantuan Malaysia

MANILA: Kira-kira tiga juta mangsa taufan Ketsana dan Parma di Filipina masih memerlukan bantuan kemanusiaan kerana kebanyakan mereka masih terkandas di rumah masing-masing akibat banjir dan tidak dapat menjalankan kehidupan harian mereka.

Penolong Setiausaha Jabatan Kebajikan Khas Filipina, Vilma Cabrera, berkata penyelesaian terbaik ialah memindahkan mangsa terbabit ke kawasan lain kerana kawasan rumah mereka itu terdedah kepada ancaman bencana alam seperti taufan.

"Kerja pemulihan di kawasan yang terjejas bergantung kepada lokasinya kerana kebanyakan kawasan masih ditenggelami banjir jadi kami tidak dapat membina semula rumah dengan segera. Kami perlu merancang penempatan semula supaya mereka tidak lagi tinggal di kawasan yang berisiko dilanda banjir di masa depan, jadi penempatan semula adalah pilihan terbaik bagi keluarga terbabit," katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.


Cabrera berkata, kerajaan Filipina mengucapkan terima kasih kepada Malaysia yang menghantar 43 tan bantuan kemanusiaan, termasuk selimut, pakaian dan beras, kepada Filipina untuk membantu mangsa taufan.

"Sumbangan daripada kerajaan Malaysia bagi mangsa taufan di Filipina tepat pada masanya. Kami memerlukan bantuan makanan, selimut dan air, bukan sahaja di kawasan metropolitan tetapi juga di wilayah-wilayah di utara," katanya.

Bantuan itu dibawa dengan dua pesawat C-130s Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari pangkalan udara di Subang pada Jumaat lalu dan dua lagi pesawat dijadualkan esok.

Pasukan Bantuan Kemanusiaan Malaysia yang terdiri daripada 13 krew TUDM dan 11 wakil media dan pegawai Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Luar tiba di pangkalan udara Viilamor pada Jumaat.

Ketua delegasi Majlis Keselamatan Negara, Nazrul Fa Zami Mohamad, menyerahkan bantuan seberat 42,305kg dan bernilai RM538,200 kepada Cabrera.

Barangan makanan itu terdiri daripada biskut, beras, susu tepung, sardin, kacang panggang dan mee segera manakala pakaian pula berupa kemeja T, seluar sukan, pakaian kanak-kanak dan selimut.

Program bersama anjuran pelbagai agensi kerajaan Filipina akan diadakan pada Isnin untuk mengagihkan bantuan asing ke kawasan yang paling teruk dilanda taufan itu di utara Filipina.

Taufan Parma melanda Filipina pada awal Oktober, seminggu selepas taufan itu tiba di perairan negara itu pada 23 September lalu.

Sementara itu, Setiausaha Politik Kedua Kedutaan Malaysia di Filipina, Intan Zurina Dollah, berkata bantuan kemanusiaan yang ditawarkan Malaysia akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Warga tempatan, Lt-Kol Adel Lebin memberitahu Bernama langkah Malaysia menghulurkan bantuan itu akan dapat membantu warga Filipina yang kebuluran di Manila dan sebahagian besar lagi di utara Luzon.

Kawasan yang terkena badai dua taufan itu termasuk 25 wilayah dan 33 bandar raya dengan 740,791 keluarga dan 3.5 juta penduduk tempatan turut terjejas manakala 3,007 terkandas.

Filipina yang terdiri daripada 7,107 pulau, mengalami kira-kira 20 taufan setahun dan dijangka akan dilanda lima lagi antara Oktober dan Disember.

Lebih 700 orang terkorban akibat taufan Ketsana dan Parma yang membawa hujan lebat dan banjir besar manakala kira-kira enam juta orang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

 

Rakan Muda Unisel

Rakan Muda Unisel Maps

Waktu Solat

games

Pengetahuan Am Copyright © 2009 Black Nero is Designed by Ipietoon Sponsored by Blogger Templates