Hamka ikon revolusi minda Melayu Nusantara
Oleh Mohamad Sofee Razak
NAMA Hamka atau Haji Abdul Malik Amrullah cukup hebat sebagai ulama dan pemikir serba boleh dan luar biasa ketokohannya. Kehebatannya cukup jelas apabila menguasai pelbagai disiplin ilmu termasuk falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik ke arah mengangkat martabat serta tamadun umat Islam.
Sepanjang hayat, Hamka melahirkan sejumlah karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen yang begitu berpengaruh kepada masyarakat Islam di Nusantara sehingga hari ini. Sumbangan pemikirannya memberi rangsangan terhadap kebangkitan dan kemajuan Islam pada zaman moden di alam Melayu terutama Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.
Karya intelek beliau menjadi penjana minda, pembina gagasan dan penyuluh kepada keimanan serta keilmuan umat Islam. Hamka yang dilahirkan pada 17 Februari 1908 menulis 118 buku dalam pelbagai bidang di samping tulisannya disiarkan di media cetak, menjadikan beliau seorang pemikir Islam prolifik.
Karya intelektual terbesar beliau ialah Tafsir al-Azhar (lima jilid) antara tafsir kontemporari dan popular serta beberapa novelnya yang berjaya menarik perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.
Beliau dianggap tokoh istimewa pelbagai dimensi yang layak ditabalkan sebagai negarawan, sasterawan, sejarawan, ilmuwan, budayawan, pemikir dan ulama unggul Nusantara yang berjuang melalui kuasa pena sejati sehingga akhir hayat beliau.
Sidek Baba dalam bukunya Pemikiran Hamka (2008) menyatakan selain aktif dan amat dikenali dalam bidang keagamaan, Hamka juga wartawan, penulis, editor dan penerbit sejak 1920-an. Hamka menjadi wartawan beberapa akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah.
Pada 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat, al-Mahdi, Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam. Beliau turut meneliti dan memahami karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti dalam usaha mendepani serangan pemikiran Barat dan orientalis terhadap Islam.
Melihat kewibawaan beliau dalam bidang ilmu Islam dan bagi menghargai sumbangan serta kesarjanaan, Hamka pernah menerima beberapa anugerah peringkat nasional dan antarabangsa seperti ijazah doktor kehormat Doktor Honoris Causa dari Universiti al-Azhar, Mesir pada 1958 dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.
Dalam usaha memastikan kesinambungan legasi intelektual, beliau menubuhkan Universiti Muhammadiyah Prof Dr Hamka (Uhamka). Jadi beliau layak diangkat sebagai mujaddid dan musleh di alam Melayu kerana melakukan proses transformasi sosial melalui pemikiran agama dan sasteranya sebagai asas tajdid dan islah.
Biarpun Hamka kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, ketokohan, pemikiran, sumbangan, perjuangan dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam pada tahap tertinggi serta merealisasikan proses reformasi dan revolusi minda umat Melayu.
Kepada generasi baru Islam, susuk tubuh manusia hebat bernama Hamka perlu dijadikan ikon dan idola mereka dalam usaha mencipta kejayaan lebih besar serta mengikuti jejak langkah kecemerlangan tokoh luar biasa ini.
Kita perlu melahirkan lebih ramai modal insan seperti Hamka di alam Melayu ini agar suatu hari nanti Nusantara mampu muncul sebagai pusat kecemerlangan Islam di rantau ini. - Utusan
0 comments:
Post a Comment