Permata Ilmu bakal lahir genius Islam tempatan
YAN: Kerajaan akan memperkenalkan program Permata Ilmu yang akan menjadi cabang kepada Pusat Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata Negara (Permata Negara) bagi melahirkan genius tempatan berasaskan pendidikan Islam pada tahun depan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata pada peringkat awal, program yang diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu akan ditawarkan secara terbuka kepada kira-kira 100 pelajar dari pelbagai aliran di seluruh negara yang boleh membuat permohonan secara dalam talian.
Bagaimanapun beliau berkata, pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan laman web khas Permata Ilmu untuk membolehkan calon yang berminat mendapatkan maklumat dan membuat permohonan bagi mengikuti program itu.
Katanya, kerajaan berhasrat melahirkan genius Islam yang bukan saja menguasai ilmu itu secara mendalam, tetapi turut mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang lain khususnya sains dan teknologi seperti pernah dikecapi tokoh Islam terdahulu.
"Kita mahu kegemilangan Islam dihidupkan kembali, oleh itu, melalui program ini pelajar yang bakal kita lahirkan mungkin menjadi seorang doktor pakar atau saintis, tetapi dalam masa sama seorang tahfiz yang mendalami ilmu agama.
"Justeru, untuk menjayakan Permata Ilmu kita menggalakkan seramai mungkin pelajar yang berasakan layak atau mempunyai keistimewaan tersendiri dalam pendidikan agama untuk membuat permohonan dan ia akan ditapis melalui ujian berdasarkan modul yang disediakan khas Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta beberapa pihak berkaitan.
"Ujian ini akan memastikan tahap I.Q calon sebelum dipilih dikalangan 100 yang akan mengikuti program pusat di bawah penyelenggaraan Usim pada setiap cuti sekolah dan selebihnya mereka akan mengikuti proses pendidikan biasa seperti dilalui pelajar lain," katanya selepas melancarkan majlis mini konvokesyen dan mesra Aidilfitri Kemas Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Chempedak, di sini, semalam.
Jamil Khir berkata, program itu amat penting kepada kerajaan kerana ia bakal melahirkan pemimpin negara yang seimbang dari segi pengetahuan agama dan ilmu sains atau teknologi pada masa depan.
"Adalah penting untuk negara merangka program ini pada peringkat awal bagi memastikan pelajar genius kita dapat dihimpun di bawah satu program seperti dijalankan negara maju.
"Apa yang terjadi sebelum ini kita ada beberapa kanak-kanak pintar yang sepatutnya menjadi aset negara tetapi ia berlalu begitu saja kerana tiada program yang khusus untuk mereka.
"Program ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi membolehkan negara melahirkan seberapa ramai genius Islam yang boleh," katanya.
Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
Monday, October 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment