Monday, December 7, 2009

Kesempitan hidup bukan penghalang kejayaan


Gambar Hiasan

Oleh Dr Ismail Zain

KEJAYAAN dicapai melalui usaha berterusan dan kemiskinan bukan faktor penghalang kejayaan.

RAMAI yang beranggapan bahawa kejayaan akan terhalang akhibat daripada kesempitan hidup. Kebiasaannya kesempitan hidup dikaitkan dengan kemiskinan atau kurang keupayaan. Oleh itu tidak hairanlah jika seseorang murid memberi sebab kemiskinan sebagai alasan apabila gagal atau tidak dapat meneruskan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebenarnya kejayaan atau kegagalan seseorang murid itu tidak semestinya berpunca daripada kesempitan hidup. Malah ramai murid-murid yang berjaya dengan cemerlang datangnya dari golongan yang berpendapatan rendah. Ada juga murid-murid yang berjaya ini mempunyai latar belakang perpecahan kekeluargaan. Terdapat juga di antara mereka yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU). Sebagai contoh ada pelajar yang cacat anggota badan iaitu tiada kaki dan tangan tetapi berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Oleh yang demikian janganlah kesempitan hidup ini dijadikan alasan atau penghalang ke arah kejayaan malah ia harus dijadikan perangsang untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi dengan mengamalkan tanggapan yang lebih positif seperti berikut:-

• Cabaran: Anggaplah kesempitan hidup itu sebagai satu cabaran. Cabaran bermaksud satu situasi atau kesukaran yang dihadapi bertujuan untuk menguji kebolehan kita untuk bertindak. Jika kita bertindak secara positif iaitu sanggup bersusah payah serta berusaha dengan gigih maka hasilnya juga akan memberi kebaikan iaitu kejayaan. Sebaliknya jika kita bertindak secara negatif dengan hanya menyerah pada nasib sahaja tanpa membuat sesuatu tindakan, maka sudah tentulah kegagalan akan kita temui.

• Kesabaran: Kesabaran itu adalah keimanan. Kejayaan tidak boleh dicapai secara sekelip mata. Kita harus bersabar dan menggunakan masa sebanyak mungkin untuk mencapai kejayaan. Sesungguhnya kehidupan ini merupakan satu kitaran. Kita tidak semestinya berada di bawah sepanjang masa. Insya-Allah pada satu masa nanti berkat kesabaran yang diamalkan kita juga akan berjaya berada di atas iaitu mampu menikmati kebahagiaan dan kejayaan seperti orang lain. Hanya masa menentukannya.

• Ketakwaaan: Seseorang yang bertakwa mampu mengawal diri daripada sifat-sifat yang keji seperti malas belajar, cepat berputus asa, bosan, tidak bersemangat serta berkelakuan biadap terhadap rakan, guru dan ibu bapa. Oleh itu perbetulkan sikap dan sifat yang ada pada diri kita. Bersyukurlah kepada Allah kerana selama ini kita masih mampu hidup di dunia ini.

Semoga usaha yang gigih, semangat yang kental serta jiwa yang murni mampu mengatasi segala kesempitan hidup ke arah mencapai kejayaan.
Read rest of entry

Atasi Sikap Bertangguh




Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:


1. Pengurusan yang lemah, sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan tugas.

2. Takut, sama ada takut kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna tanggungjawab lebih besar, masa makin sibuk dan tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan kegagalan kerana bimbang dikritik, dimarahi, dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90% daripada apa yang disangkakan sebenarnya tidak akan berlaku.

3. Terlalu mahukan kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya terlalu sempurna. Begitu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan mengkaji keburukan-keburukan yang mungkin akan terjadi.

4. Masalah fizikal. Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh mendorong perasaan malas. Ini membuatkan banyak kerja-kerja gagal disempurnakan kerana diri tidak produktif.

5. Masalah sikap. Sikap adalah penyumbang paling utama kepada masalah tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil mudah dan tiada komitmen serta disiplin terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka segalanya pasti akan tertangguh. Bagaimana Mengatasinya? Tangguh bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ia bukannya perkara biasa dalam kehidupan yang tidak dapat dielak. Sebaliknya ia adalah kebiasaan atau tabiat yang tertanam dalam diri kita kerana kita tidak mendidik diri dengan amalan-amalan kecemerlangan.



Berikut dinyatakan beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah umum ini:

1. Agih-agihkan tugas. Pastikan tugasan bersesuaian dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan. Salah satu penyebab kepada tangguh ialah rasa kerja yang mahu dibuat itu terlalu sukar atau terlalu banyak. Kalau terlalu banyak, agih-agihkan tugas kepada bahagian yang lebih kecil. Kalau terlalu sukar, dapatkan seseorang yang boleh membantu. Tanya mereka! Jangan jadi orang yang berat mulut. Dalam dunia ni tiada sesiapa pun yang akan membantu kita tanpa diminta.

2. Buat senarai tugas atau ‘TO DO LIST’.

3. Dapatkan satu diari, nak canggih lagi pakai ‘Palmtop’. Malah telefon bimbit pun dah boleh untuk masukkan aktiviti kita. Sebenarnya, jangan bazirkan duit dengan membelanjakan wang membeli diari atau organizer yang mahal-mahal. Ramai orang yang saya perhatikan, ketika semangatnya datang, mereka keluarkan duit untuk tujuan ini tetapi akhirnya sia-sia juga.

4. Cari cara untuk ingatkan kita. Contoh: Jam loceng, komputer, digital organizer dan sebagainya.

5. Sediakan segala keperluan lebih awal. Contoh: Nak ambil pemadam, hanya kerana itu kerja tertangguh 30 minit. Nak ke bilik air dan sebagainya. Kita kena ingat, kita dibayar gaji untuk bekerja 8 jam sehari jadi buatlah yang terbaik!

6. Tiada dua orang yang serupa. Lain orang lain masa yang mana dia akan paling produktif. Oleh itu kenali masa produktif kita dan gunakan masa ini untuk siapkan kerja-kerja penting kita.

7. Tukar cara fikir atau ‘mindset’ kita.

8. Just do it! Jangan peduli apa orang lain akan kata. Ia adalah soal masa depan kita. Percaya cakap saya, 90% daripada sangkaan-sangkaan dan kebimbangan kita itu sebenarnya tidak akan berlaku!

9. Belajar dari kesilapan. Mula melangkah apabila sudah ada perancangan dan jangan tunggu untuk segala-galanya sempurna sebab ketidaksempurnaan itu sememangnya sifat semulajadi setiap hasil ciptaan manusia. Contoh: TV hitam putih wujud sebelum ada TV warna. Telefon bimbit besar sebelum ada yang kecil molek. Orang yang mencipta dan menjual barang-barang ini tidak menunggu segalanya sempurna. Mereka mengaut keuntungan awal dan menggunakan keuntungan itu untuk melakukan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan barangan yang lebih baik.

10. Senaman secara konsisten, 20 minit sehari, 3x seminggu.

11. Jaga diet atau pemakanan. Makan makanan yang kurang lemak dan yang tinggi kandungan fibernya seperti buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran. Makan roti yang ada tertulis perkataan ‘high fibre’.

12. Rehat yang cukup - Lakukan meditasi atau rileks. Itu gunanya kita lepas solat sambung berzikir dan berwirid.

13. Mulakan sedikit, bertatih sebelum berlari. Tidap perlu untuk menghabiskan apa yang mahu dilakukan itu serentak. Manusia mudah rasa jemu dan bosan. Oleh itu, lakukanlah sedikit tetapi konsisten. Pelbagaikan aktiviti dan jangan fokus hanya kepada satu tugas semata-mata.

14. Ganjari diri sendiri setiap kali dapat menyelesaikan sesuatu tugas atau pekerjaan.
Read rest of entry

Terpuji atau Terindah?



Pernahkah menonton filem ‘Musang Berjanggut’? Filem ini mengisahkan Tun Nila Utama yang berkonflik dengan bapa angkatnya Raja Alam Syahbana tentang konsep perempuan dan betina.

Menariknya filem ini, bukan sahaja ia diarahkan dan dibintangi pelakon hebat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, tetapi tema cerita yang membawa kita kepada menilai erti sebenar sebuah perkahwinan dan keperluan mencari pasangan yang terbaik untuk seseorang.

Dalam meneguhkan pendirian bahawa lelaki sepertinya harus mencari wanita yang baik budi pekerti Tun Nila Utama sanggup berdepan dengan ancaman maut iaitu, jika dia tidak menemui ‘perempuan’ dalam masa setahun, dia akan dipancung.

Berbekalkan sedikit wang dan uncang yang diisi dengan bahan masakan yang bercampur aduk, misi mencari perempuan bermula. Seorang demi seorang perempuan ditemui dan kesemuanya menolak apabila membuka uncang bahan masakan yang dibawa oleh Tun Nila Utama. Mana mungkin mereka mampu mengasingkan bahan masakan yang telah bercampur aduk itu.

Sehinggalah Tun Nila Utama sampai di sebuah kampung dan bertemu dengan seorang perempuan bernama Puspawangi yang mengganggap Tun Nila Utama bukan orang sebarangan berdasarkan perjalanannya bersama Tun Nila Utama yang diselang-seli dengan pelbagai situasi yang memerlukan ketinggian akal dan kebijaksaan seseorang. Akhirnya, Puspawangi dapat membaca helah uncang itu dan sudi memasakkan bahan makanan yang terdapat di dalam uncang tersebut. Tun Nila Utama memilih untuk memperisteri Puspawangi kerana kebijaksanaannya dan juga kerana Puspawangi ditakrifkan sebagai seorang ‘perempuan’ dan bukannya ‘betina’.

Namun, pemilihan Puspawangi boleh dipertikaikan apabila, pada awal pertemuan, Tun Nila Utama memperkenalkan dirinya sebagai seorang anak raja. Hal ini sudah pasti mempengaruhi persepsi Puspawangi dan seterusnya beliau akan berperilaku secara tidak semulajadi. Jika Tun Nila Utama bukan seorang anak raja, mahukah Puspawangi mempelawa Tun Nila Utama ke rumahnya untuk berteduh barang sehari dua?

Di sini, terlihat bahawa rupa paras Puspawangi yang cantik menawan mungkin menjadi pengikat, mengapa Tun Nila Utama memperkenalkan diri sebagai anak raja.

Citra Pasangan

Penciptaan manusia sesuatu yang unik. Melalui Al-Quran dalam surah Al Mu’minuun, ayat 12-14, bermaksud;

”Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. kemudian Kami jadikan Dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.”

Dengan penciptaan yang unik ini, terlahir manusia yang pelbagai rupa dan memiliki ciri-ciri tersendiri. Dengan penciptaan yang unik ini juga, lelaki dan wanita ditakdirkan untuk berpasang-pasangan sebagaimana penciptaan langit dan bumi, matahari dan bulan, bunga dan kumbang serta lain-lainnya. Setiap benda yang dicipta adalah berpasang-pasangan.

Memilih wanita sebagai teman hidup memerlukan kriteria tertentu. Inilah susunan dan peraturan Islam yang indah. Agar pemilihan itu kelak tidak memudaratkan hubungan sesama manusia dan generasi selepasnya.

Rasulullah SAW bersabda :
“Perempuan itu dikawini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.”
(H.R. Bukhari dan Muslim)


Selain itu terdapat ciri-ciri tambahan yang lain yang disenaraikan bagi memilih wanita. Antaranya ialah perawan, berakhlak baik, sekufu, subur, mudah dilamar dan banyak lagi yang melambangkan ciri-ciri wanita yang baik.

Bagi golongan wanita pula, Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

Pemilihan pasangan yang mengikut lunas agama akan terlahirnya generasi yang baik dan berkualiti.

Citra Masakini

Melihat isu ini dari situasi masakini, seolah-olah banyak kelompongan dan kecacatan tingkahlaku manusia dalam memilih pasangannya. Persepsi lelaki dan wanita tentang pasangan mula berubah mengikut pengaruh semasa. Apa yang terlihat, tiada lagi kelibat ‘Tun Nila Utama’ yang sanggup mencagar nyawa demi membuktikan bahawa wanita dan betina itu banyak bezanya.

Kebanyakan lelaki masa kini, dilihat tidak lagi mempersiapkan diri dengan akhlak dan jatidiri yang mulia dan terpuji demi menjadi tunggak kepada pasangan dan rumahtangga yang bakal dibina. Wanita yang menjadi pilihan pula tidak diuji atau dinilai sebaiknya. Hanya tangkap muat dan sekadar ada.

Begitu juga dengan sesetengah citra wanita masa kini yang jarang terlihat kelibat ‘Puspawangi’ yang bijaksana dan berakhlak mulia. Wanita masa kini leka dalam mempersiap diri untuk menjadi wanita yang mulia dan isteri yang baik. Mereka juga buta dalam memilih lelaki yang bakal menjadi pasangan hidup. Apa yang penting bagi sesetengah wanita masakini mungkin keseronokan dan bahagia yang pada hakikatnya adalah fatamorgana semata-mata tanpa disulami keimanan.

Hari ini, kita lihat seorang lelaki memilih wanitanya kerana wanita itu cantik, pandai bergaya, dan mungkin terlebih bagus wanita itu punya kekayaaan. Hal beriman atau tidak, bertudung atau tidak, masih dara atau tidak, tolak ke tepi. Itu hal yang sudah tidak terpandangkan lagi. Hidup hari ini adalah untuk hari ini dan masa depan adalah hal lain.

Begitu juga dengan wanita yang memilih lelaki. Selalunya, biarlah lelaki itu mampu mengungkap cinta dengan baik, kacak, pandai melayan, kaya, dan boleh dibawa ke tepi atau ke tengah. Hal beriman atau tidak buang ke tepi. Hal boleh menjadi imam kepada keluarga juga sering diabaikan.

Fenomena memilih pasangan secara tangkap muat ini mempunyai pengaruh yang tidak baik kepada generasi akan datang. Ia juga merupakan penyakit yang berbahaya kepada institusi sosial masyarakat Melayu dan Islam yang amat mementingkan akhlak dan perhubungan yang mengikut landasan syariat.

Jika pasangan hari ini tidak mementingkan hal-hal yang suatu waktu dahulu menjadi suatu kemestian malah kewajipan seperti beragama, berakhlak, dan masih perawan, nescaya, generasi yang terlahir nanti tidak akan diikat dengan batasan sosial yang ditetapkan oleh agama dan adab budaya masyarakat.

Mengapa ciri beragama dan berakhlak dipentingkan dalam diri lelaki dan wanita yang mahu bersatu? Kerana agama dan akhlak yang baik menentukan hala tuju sesebuah perkahwinan samaada mengikut tuntutan agama atau terpesong dari landas Islam.

Begitu juga persoalan ‘masih perawan’ yang ditekankan oleh orang tua zaman dahulu kepada bakal menantu perempuannya? Kerana ‘perawan’ seseorang wanita itu melambangkan akhlaknya, sifat malunya, maruah dan perangainya.

Tun Nila Utama dan Puspawangi dalam filem Musang berjanggut bukanlah citra terpuji yang boleh di buat contoh sepenuhnya. Mereka masih punya kelemahan. Apa yang ingin disampaikan melalui filem itu adalah citra terpuji seorang lelaki yang mementingkan siapa pasangannya serta citra terpuji seorang wanita yang bakal menemani pasangannya.

Contoh terbaik dalam memilih pasangan lelaki sebaiknya mencontohi peribadi dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w serta sahabatnya. Manakala bagi wanita pula harus dilihat kehebatan akhlak dan keteguhan hati seperti isteri-isteri nabi serta wanita beriman yang selalu diceritakan dalam kisah nabi-nabi.

Citra terpuji yang dituntut dalam Islam adalah sifat mulia dan akhlak yang baik dalam memilih pasangan hidup. Manakala citra terindah bukan semata-mata kerana paras wajah yang kebanyakannya hanya topeng. Citra terindah adalah keindahan budi pekerti disulami keimanan yang kukuh kepada Islam.

Citra terpuji dan terindah bukan kisah untuk pasangan suami isteri sahaja. Ia lebih daripada itu. Dengan bersatunya pasangan lelaki dan wanita, maka terhasil anak yang bakal menghuni dunia. Generasi bagaimanakah yang kita mahukan? Adakah generasi yang terlebih baik daripada kita ataupun generasi yang lebih buruk nilainya daripada kita?
Read rest of entry
 

Rakan Muda Unisel

Rakan Muda Unisel Maps

Waktu Solat

games

Pengetahuan Am Copyright © 2009 Black Nero is Designed by Ipietoon Sponsored by Blogger Templates